CERITERA KEHIDUPAN- KISAH IMPIAN YANG TERTUNDA
CERITERA KEHIDUPAN- KISAH IMPIAN YANG TERTUNDA
Bismillahirahmannirahim
Assalamualaikum wbt,
Salam perkenalan,
Saya, Siti Suhaila binti Mat Husin. Mesra disapa Siti bagi yang mengenali diri ini. Sekarang saya bekerja sebagai admin di Damansara Perdana Petaling Jaya, Selangor.
Sudah lama rasanya tidak mencurahkan idea di platform penulisan ini.
Permulaan di tahun 2025,
doakan saya.
Sebagai permulaan, saya ingin menceritakan kisah kehidupan saya dan untuk mengejar dua Impian besar dalam kehidupan saya sehingga sekarang.
Pertamanya, bersyukur kerana Allah masih memberi peluang kepada saya untuk masih berada di sini sehingga hari ini. Tiada yang lebih kesyukuran melainkan kepada Dia semata.
Ok, saya mulakan di sini. Sebenarnya saya sehingga hari ini menyimpan impian besar dalam hidup saya iaitu untuk menyambung Pelajaran dan memiliki sebuah kereta. Mohon doakan saya ya. Ya, mungkin untuk orang lain senang untuk memilikinya kerana memang itu rezeki kehidupannya. Tapi mungkin ada juga yang senasib atau sama keadaannya seperti saya, yang masih menaruh harapan dan doa yang besar untuk impian itu. Tapi jangan terlalu risau dengan itu, teruskan usaha dan jangan berenti berdoa kerana kita tidak tahu aturan kehidupan bagaimana ke hadapannya yang diatur oleh Allah. Yang pasti jangan pernah berputus asa untuk apa jua dalam kehidupan kita.
Alhamdulillah ala kullihal
Baik, marilah saya ceritakan sedikit ceritera kehidupan saya yang serba sederhana ini. Alhamdulillah, saya merupakan seorang pelajar lepasan STPM tahun 2017/2018 dan keputusan saya biasa-biasa sahaja dan mencuba nasib untuk melangkah ke menara gading dan ingin ke universiti awam di Malaysia. Keinginan dan angan-angannya lepas SPM tapi tiada rezeki di situ tapi apa-apa pun bersyukur kerana diberi peluang untuk menyambung STPM dengan rakan-rakan yang lain juga. Dan akhirnya, lepas STPM, setelah mengisi UPU, harapannya dan angan-angannya juga untuk menjadi seorang guru tetapi juga tidak kesampaian. Seperti terlalu gelap dunia ketika itu. Gaya seperti tiada sudah masa depan diri ini. Tapi sebenarnya tahu tak boleh lama-lama dalam situasi sebegitu. Masih dengan debaran dan harapan menunggu untuk keputusan UPU yang bukan pendidikan pada akhir bulan Julai ketika itu. Berbagai perasaan, fikiran juga sangat kusut juga ketika itu. Mahu dipendekkan cerita, akhirnya hari yang dinanti-nanti telah tiba. Sangat takut untuk menyemak keputusan itu tapi beranikan juga diri, dah fikir kalau tiada rezeki untuk sambung belajar ketika itu, memang terus mahu mencari kerja untuk meneruskan kelangsungan kehidupan. Di benaknya begitu perancangannya. Akhirnya, waktu itu selepas dilihat keputusannya, memang menggeletar tangan dan perasaan mahu menjerit. Tidak disangka yang dapat melangkah lagi untuk meneruskan pengajian di universiti awam untuk segulung Ijazah Sarjana Muda. Terus menerpa arwah datuk ketika itu untuk memberitahu dia. Bergetar-getar suara ketika itu, nampak di riak wajahnya kesyukuran dan kebahagiaan kepada cucunya. Tiada perasaan yang mampu diungkap, bercampur baur segala rasa. Dengan diri ini yang tidak biasa berjauhan dari keluarga, terasa juga berat untuk pergi merantau menuntut ilmu waktu itu. Ada rezeki untuk merasa berada di kolej selama satu semester setengah sebelum covid pada 2020. Tiga sem pula berada di rumah dan sepenuhnya secara atas talian. Sukar juga situasi ketika itu, untuk diri ini, sangat memerlukan fokus sepanjang hari ketika kelas berlangsung. Duji juga ketika itu arwah datuk meninggal dunia kerana sakitnya dan diri ini tetap perlu meneruskan kehidupan seperti biasa serta perlu menghabiskan pengajian yang masih berbaki. Alhamdulillah, pada hujung tahun 2023 berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sastera Antropologi dan Sosiologi di Universiti Malaya, juga dengan ketiadaan arwah abah di sisi. Kehilangan dua insan kesayangan sangat berat dirasakan ketika diri ini juga masih berjuang untuk menghabiskan pengajian. Syukur dikelilingi insan-insan baik yang mengiringi dan membawa semangat untuk diri meneruskan juga hingga ke akhirnya di samping keluarga yang juga memberi dorongan dan motivasi yang tiada henti. Sayang semuanya. Sekarang, di sini insan bernama Siti Suhaila ini ingin memohon doa dari semua agar dapat meneruskan lagi perjuangan dan keinginan untuk menyambung pengajian di peringkat yang seterusnya, InsyaAllah. Sesungguhnya kehidupan kita ini, kita merancang ,Allah juga merancang, dan akhirnya perancangan Allah jua yang paling terbaik, bukan?
Seterusnya, impian terbesar kedua saya adalah untuk memiliki sebuah kenderaan atau khususnya sebuah kereta sendiri. Juga minta didoakan untuk diri ini. Pengalaman hidup yang tak ternilai. Direzekikan juga pada bulan enam 2024, tanpa dirancang saya bertekad untuk mendaftar di pusat latihan memandu dan harapannya untuk memiliki lesen kenderaan sendiri. Alhamdulillah, Allah izinkan saya. Walaupun jarak perjalanan dua jam setengah dari tempat saya. Setiap kali kelas, saya akan bergerak dari Petaling Jaya, Selangor ke Rembau, Negeri Sembilan. Ada kemudahan kenderaan awam tren yang berdekatan untuk memudahkan ejen menjemput saya dari MRT yang berdekatan sebelum meneruskan perjalanan ke pusat latihan memandu di Rembau. Jujur, perjalanan latihan lesen saya penuh dengan cerita juga air mata. Selama enam bulan ada cikgu-cikgu yang sangat sabar dan berusaha dengan sedaya upaya untuk memastikan saya lulus latihan tersebut. Pada bulan 11 2024, sekeping lesen digital berjaya saya dapatkan. MasyaAllah nikmatnya itu. Syukur yang paling syukur kepada Allah kerana mengizinkan saya dan memberi peluang yang untuk saya agak besar untuk saya capai dalam hidup tanpa dirancang malah tiada dalam senarai pencapaian impian saya pada tahun 2024. Begitulah juga sebab memasang impian untuk memiliki sebuah kereta yang sederhana untuk memudahkan urusan seharian. Tinggi harapan malah tinggi juga usaha yang diperlukan untuk mendapatkannya. Yakin yang rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah itu tidak pernah salah untuk hamba-hambaNya. Jika rezeki itu adalah sudah tertulis untuk kita, makanya tetap jua kita akan dapatkannya. Yang penting usaha jangan henti serta tidak mudah putus harapan dengan cepat. Impian ini saya akan cuba usahakan sedaya yang mungkin dan semoga yang terbaik sentiasa mengiringi dalam apa jua keputusan yang ingin dibuat dalam hidup.
Begitulah ceritera insan bernama Siti Suhaila ini. Kita memang banyak kisah yang ingin diceritakan dan dikongsikan, dan akhirnya ia membawa kepada momen-momen yang kita tidak dapat lupakan dalam kehidupan kita, kan? Ada hari mungkin sangat muram dan kecewa untuk kita, ada hari indahnya seperti terangnya gemerlapang cahaya yang menerangi siang hari. Apapun, jalanilah ia dengan penuh kesyukuran dan segala rasa penghargaan kepada Allah. Tiada yang lebih mengetahui tentang kehidupan kita kecuali Allah. Untuk setiap impian itu sememangnya memerlukan usaha untuk memilikinya, kadang terasa susah, payah hingga rasa tidak mahu mengimpikan lagi perkara tersebut tapi jangan dilupa dalam setiap perjalanan kehidupan kita ada yang mengaturnya. Yang pasti juga kita jalanilah ia dengan penuh kegembiraan serta kesyukuran dalam setiap hari kita supaya kita tidak mudah lelah dalam perjalanan kehidupan kita. Tiada yang lebih di sini melainkan sebuah perkongsian bersama pengalaman yang dialami serta dirasai dalam kehidupan ini. Semoganya dapat memberi semangat serta bangkitnya sebuah perasaan untuk terus semangat meneruskan hari-hari yang mendatang tanpa lebihnya melihat sisi kekurangan dan ketiadaan dari yang lain.
Sekian.💗
Setiap dari kita ada kisah dan impian tersendiri. Semoga apa yang kita impian menjadi kenyataan. Biar lambat asalkan ada hasilnya.
ReplyDeleteSalam ukhwah :)
masyaAllah benar tuu.. salam ukhuwah awak
Delete